TPM: Jadikan muhibah, penyayang identiti negara

KEPALA BATAS 9 Dis. - Rakyat Malaysia perlu menjadikan semangat muhibah dan penyayang sebagai satu identiti negara yang perlu dikekalkan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, sifat-sifat sedemikian merupakan identiti rakyat negara ini yang mesti dikekalkan dan disemai agar negara ini terus maju dan berjaya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cara hidup rakyat Malaysia yang menyanjungi semangat perpaduan, kasih sayang dan belas ihsan adalah satu situasi yang amat menggembirakan, cukup unik dan istimewa.

``Apabila tiba musim perayaan sesuatu agama, rakyat kita tanpa mengira agama akan bersama-sama menyambutnya dan sebagai contoh tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan tentunya rakyat yang bukan beragama Islam akan mengucapkan selamat Hari Raya kepada kita.

``Begitu juga sebaliknya ketika sambutan Hari Krismas, Tahun Baru Cina atau Deepavali,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Hari Raya kepada golongan miskin dan anak-anak yatim bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Bertam di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas di sini hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Kepala Batas itu turut menyampaikan bantuan Hari Raya kepada golongan miskin dan anak-anak yatim bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Penaga di Sekolah Kebangsaan Seri Muda di Penaga. Menurut Abdullah, budaya berkasih sayang dan prihatin telah mewujudkan satu suasana yang membuktikan bahawa rakyat Malaysia mengutamakan cara hidup muhibah, bermuafakat, dan saling hormat menghormati.

``Kita juga patut bersyukur dan berterima kasih kerana menjelang Hari Raya nanti, bukan sahaja wakil-wakil rakyat yang beragama Islam tetapi yang bukan beragama Islam, turut menghulurkan bantuan.

``Bantuan yang dihulurkan itu adalah untuk golongan fakir miskin, miskin dan yang memerlukan bantuan serta juga kepada kumpulan yang akan mengadakan majlis di masjid-masjid atau surau,'' katanya.

Menurut Abdullah, identiti kehidupan Malaysia yang unik itu adalah hasil kejayaan yang membanggakan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana secara terancang, bermula dari Perikatan lagi, telah mewujudkan semangat muhibah sebagai rancangan utama perpaduan kaum di negara ini.

Kerajaan ketika itu, tambahnya, telah mewujudkan Jabatan Perpaduan Negara yang telah terus menerus memberikan perhatian berkaitan cara-cara perpaduan yang betul.

Di samping itu, pemimpin sendiri telah menunjukkan contoh yang baik dengan menjalinkan hubungan kerjasama yang baik dan saling hormat menghormati, hanya kerana negara dan rakyat Malaysia.

``Inilah kepimpinan melalui teladan, kerana apabila sambutan sesuatu perayaan, mereka membuat lawatan rumah pemimpin parti dan ini memberikan gambaran yang baik kepada rakyat.

``Situasi itu juga telah mempengaruhi suasana dalam negara yang menyaksikan seluruh rakyat telah dapat hidup berbaik-baik dan aman makmur serta bersama-sama memastikan keselamatan dan keamanan negara,'' katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, rakyat Malaysia juga amat prihatin dengan kesengsaraan rakyat negara lain kerana apabila ditubuhkan tabung-tabung ihsan seperti untuk Afghanistan dan Palestin, ia disokong dan sumbangan dihulurkan oleh semua kaum tanpa mengira agama.

Inilah yang perlu ada dalam minda rakyat tambahnya, dan kerajaan pula ingin agar ketika Malaysia menuju kemajuan dan kejayaan, rakyat tetap bersatu padu dan bersikap penyayang.

``Identiti seperti inilah yang perlu dikekalkan kerana ia amat bernilai untuk rakyat dan negara Malaysia,'' katanya.

Menurut beliau lagi, rakyat mesti bersyukur kepada Allah kerana walaupun negara menghadapi cabaran ekonomi tetapi kerajaan dapat menangani dengan sebaiknya.

Sehingga sekarang pun tambahnya, negara ini masih ada harapan untuk mengalami pertumbuhan ekonomi walaupun belum tentu memberangsangkan, tetapi itulah harapan kerajaan